
Pengerusi Qhazanah Sabah, Anifah Aman berkata kajian Glavkosmos telah merumuskan bahawa lokasi terbaik untuk pelancaran angkasa di Asia Tenggara ialah Sabah.
Katanya, lokasi Sabah membolehkan pelancaran orbit bumi rendah (LEO) dan orbit suria segerak (SSO) tanpa sebarang kemudaratan kepada kawasan daratan memandangkan roket akan jatuh semula ke laut di bahagian Utara dan Timur Sabah yang selamat.
“Pembinaan pelabuhan angkasa ini juga dijangka memberi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada lebih 2000 orang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, beliau menerima kunjungan delegasi Glavkosmos yang diketuai Timbalan Pengarah Urusannya, Vitaly Safonov di Kota Kinabalu.
Cadangan Rusia itu dibuat susulan rancangan yang diumumkan tahun lalu untuk Malaysia membangunkan pad pelancaran roket sendiri, dengan tiga lokasi disenarai pendek di Pahang, Sarawak dan Sabah.
Kerajaan Pahang juga pada April tahun lalu berkata satu kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan bagi cadangan projek pelabuhan angkasa di Nenasi, Pekan.
Pada September, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia, Azlikamil Napiah, berkata Malaysia berpotensi menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai pad pelancaran roket sendiri menjelang 2029.
Azlikamil berkata tiga pihak telah menunjukkan minat untuk melaksanakan projek itu, yang termasuk pembinaan satelit pemerhatian bumi milik Malaysia, pembangunan sebuah bandar angkasa dan penawaran perkhidmatan pelancaran roket.
Glavkosmos, anak syarikat syarikat angkasa Rusia Roscosmos, merupakan pengendali pelancaran komersial Soyuz-2 dari pelabuhan angkasa Vostochny, Baikonur dan Plesetsk. Ia juga diberi kebenaran untuk mengendalikan penerbangan ‘pelancongan angkasa’.
Tahun lalu, syarikat itu mencatat rekod 51 pelancaran serentak satelit Rusia ke orbit.