
Beliau turut mengalu-alukan lawatan beberapa pakar nuklear Malaysia ke kemudahan nuklear terapung di Kamchatka, Rusia, bagi menilai sendiri tahap keselamatan teknologi itu sebelum rundingan diteruskan.
Katanya, perbincangan yang bermula tahun ini menandakan fasa baharu dalam hubungan dua hala antara dua negara itu selaras hasrat Malaysia untuk meneliti pelaksanaan Program Tenaga Nuklear Nasional.
“Kami memahami program ini masih dalam peringkat perbincangan, tetapi kami bersedia menyokong Malaysia sepenuhnya,” katanya kepada Astro Awani.
Naiyl berkata, Kedutaan Besar Rusia di Malaysia juga mampu menawarkan pilihan pembinaan loji nuklear berskala besar, sederhana atau kecil bergantung keperluan tenaga Malaysia.
“Rusia kini terlibat dalam pembinaan lebih 20 kemudahan nuklear di seluruh dunia.”
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penggunaan loji nuklear terapung, iaitu platform jana kuasa mudah alih yang boleh ditempatkan di perairan Malaysia.
Latypov berkata, teknologi itu sudah beroperasi di Kamchatka, dan Rusia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai pengalaman sebenar dalam mengendalikan loji nuklear terapung.
Beliau menjelaskan model tersebut turut menawarkan kelebihan penjimatan kos kepada Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Rusia menerusi Kedutaan Besar turut menyatakan kesediaan bagi membantu Malaysia merangka dasar, undang-undang, dan garis panduan keselamatan untuk program tenaga nuklear.
“Kami (Rusia) sedar isu nuklear adalah sangat sensitif kepada masyarakat, dan kami bersedia berkongsi pengalaman mengurus persepsi awam,” katanya.
Naiyl berkata, Kedutaan Besar Rusia di Malaysia melihat kerjasama tenaga nuklear sebagai peluang besar yang mampu menyumbang kepada kestabilan tenaga di Malaysia.