
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata inisiatif diumumkan di bawah Belanjawan 2026 itu membolehkan pemilik kenderaan yang layak menerima sehingga RM2,000 daripada pengeluar Malaysia, yang kemudiannya akan dipadankan oleh kerajaan untuk jumlah manfaat RM4,000 bagi pembelian kereta baharu.
“Inisiatif ini bermula serta-merta di bilik pameran Proton dan Perodua,” katanya pada majlis pelancaran.
Loke berkata, peruntukan RM10 juta itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 pemilik kenderaan, sambil menambah Proton dan Perodua diharap untuk menggunakan sepenuhnya dana itu menjelang pertengahan tahun supaya kementeriannya boleh memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.
Beliau berkata, ramai rakyat Malaysia terus menggunakan kenderaan berusia lebih dua dekad bukan kerana pilihan, sebaliknya disebabkan kekangan kewangan.
“Kenderaan lama lazimnya terdedah kepada kegagalan mekanikal, kurang ciri keselamatan moden serta tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.”
Loke berkata, inisiatif berkenaan menggunakan pendekatan geran padanan bagi memastikan tanggungjawab bersama antara kerajaan, pihak industri dan orang awam, selain mengoptimumkan penggunaan dana awam.
Beliau berkata, terdapat 19.69 juta kenderaan berdaftar di Malaysia setakat 31 Dis 2025. Daripada jumlah itu, 4.075 juta kenderaan atau sekitar 20.7%, mempunyai lesen kenderaan motor yang tidak aktif selama tiga tahun atau lebih.
Kenderaan sedemikian, katanya, boleh dianggap sebagai kenderaan terbiar dan boleh mendatangkan bahaya keselamatan, pencemaran alam sekitar, serta gangguan kepada komuniti setempat jika dibiarkan tanpa pengurusan.
Bagi menangani isu tersebut, program berkenaan disokong sistem pembatalan pendaftaran kenderaan secara dalam talian (e-DeREG) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang membolehkan pemilik membatalkan pendaftaran kenderaan secara digital tanpa perlu mengunjungi kaunter.
“Pendigitalan ini menjadikan proses tersebut lebih pantas, telus, selamat, dan mesra pengguna, selain mengurangkan birokrasi dan masa menunggu,” katanya.
Loke berkata, kenderaan diganti di bawah program ini akan dilupuskan melalui kemudahan ‘authorised automotive treatment facilities’ (AATF) bagi memastikan proses peleraian dilakukan sah, profesional, dan mematuhi piawaian alam sekitar, serta mengelakkan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram.
Ganti teksi lama
Pada pelancaran tersebut, Loke berkata, satu inisiatif berasingan akan diperkenalkan untuk menggantikan teksi lama dengan kenderaan baharu.
Di bawah skim itu, teksi lama akan dipadankan dengan kenderaan baharu melalui aturan pembayaran yang mampu milik. Program ini dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan mendatang, katanya.
Menurut data dikeluarkan hari ini oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan mencecah 820,752 unit, iaitu peningkatan kecil 0.5%, berbanding 816,747 unit yang terjual pada 2024.
Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan insentif pelupusan kenderaan sehingga RM4,000 di bawah Belanjawan 2026 bagi menggalakkan pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun menggantikannya dengan kereta nasional baharu.