Putrajaya, Sarawak setuju RM1.8 bilion ambil alih Pelabuhan Bintulu

Putrajaya, Sarawak setuju RM1.8 bilion ambil alih Pelabuhan Bintulu

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan persekutuan dan negeri kini di peringkat akhir proses penyerahan pelabuhan itu kepada Sarawak.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pengambilalihan itu hanya membabitkan  Lembaga Pelabuhan Bintulu dan bukan operasi pelabuhan diuruskan syarikat konsesi Bintulu Port Holdings. (Gambar Bintulu Port Holdings Berhad)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat dimaklumkan kerajaan persekutuan dan Sarawak secara prinsipnya bersetuju dengan nilai RM1.8 bilion bagi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata kerajaan persekutuan dan negeri kini di peringkat akhir proses penyerahan pelabuhan itu kepada Sarawak.

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan bersama kedua-dua pihak sedang memperhalusi aspek perundangan bagi memastikan semua obligasi disempurnakan seperti diperuntukkan bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2023, sebelum tarikh kuat kuasa akta itu ditetapkan.

“Langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengambil alih selia serta mengurus tadbir Pelabuhan Bintulu secara rasmi.

“Kerajaan persekutuan juga telah menetapkan nilai bayaran serta kaedah pembayaran yang perlu diguna pakai kerajaan Sarawak bagi tujuan pengambilalihan pelabuhan berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) berhubung status semasa pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, termasuk jumlah dibayar kerajaan Sarawak untuk memperoleh pelabuhan berkenaan.

Loke berkata, pengambilalihan itu hanya membabitkan badan kawal selia pelabuhan, iaitu Lembaga Pelabuhan Bintulu dan bukan operasi pelabuhan yang diuruskan syarikat konsesi Bintulu Port Holdings.

Setiap tahun, katanya, Lembaga Pelabuhan Bintulu menerima bayaran konsesi daripada syarikat konsesi dan sebarang pelaburan membesarkan pelabuhan akan dilaksanakan syarikat konsesi.

“Oleh itu, tidak timbul soal Lembaga Pelabuhan Bintulu memerlukan dana daripada kerajaan persekutuan kerana mereka terus menerima bayaran konsesi daripada syarikat mengendalikan pelabuhan tersebut.”

Menurutnya, penilaian aset masih diperhalusi kerajaan persekutuan dan Sarawak menerusi beberapa mekanisme, termasuk jawatankuasa teknikal, jawatankuasa kerja dan jawatankuasa khas dipengerusikan bersama menteri pengangkutan serta timbalan premier Sarawak dengan semua perincian dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

Dari segi pendedahan maklumat, beliau berkata, ia tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak dan bagi Kementerian Pengangkutan, tiada apa-apa perlu disembunyikan kerana transaksi itu dilaksanakan secara telus.

“Mengenai kemampuan kewangan kerajaan Sarawak, tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri mempunyai keupayaan membayar jumlah tersebut dan dipersetujui selepas beberapa siri rundingan antara perdana menteri dan premier Sarawak.

“Malah, kerajaan Sarawak bercadang membuat bayaran secara sekali gus kepada kerajaan persekutuan dan perkara itu dialu-alukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.