
Mereka berkata kerajaan juga boleh melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, di samping menambah baik infrastruktur bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam.
Sebagai contoh, Rahman Hussin daripada badan pemikir pengangkutan MY Mobility Vision berkata kerajaan boleh memperkenalkan kredit tambang, bonus pas, atau manfaat berkaitan majikan bagi perjalanan di luar waktu puncak.
“Ini boleh menggalakkan sebahagian pengguna mengubah sedikit masa perjalanan mereka untuk mengelakkan kesesakan waktu pagi.
“Kos operasi (pengendali pengangkutan awam) adalah lebih tinggi semasa waktu puncak, namun kadar tambang rata tidak menggalakkan fleksibiliti ini,” katanya kepada FMT.
“Ini lebih baik daripada sekadar menaikkan tambang.”
Pada awal bulan ini, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata peruntukan awal kerajaan sebanyak RM200 juta kepada Prasarana Malaysia Bhd bagi menampung kos subsidi pas My50 adalah tidak mencukupi.
Beliau berkata Prasarana terpaksa menanggung sebahagian daripada kos itu, malah menyediakan pembiayaan tambahan untuk program pas My50 menjelang penghujung 2025.
Prasarana menjual lebih 556,000 pas My50 dari Julai hingga Disember tahun lalu. Pengguna membayar RM50 sebulan manakala kerajaan menambah RM100 lagi, bagi membolehkan setiap pemegang pas menikmati penggunaan pengangkutan awam tanpa had setiap bulan.
Inisiatif itu dijadualkan untuk diteruskan pada 2026.
Rahman berkata di kebanyakan di dunia, adalah amalan biasa bagi perniagaan untuk berkongsi kos perjalanan harian pekerja mereka, manakala kerajaan menyediakan insentif yang sama kepada pekerja berpendapatan rendah.
Langkah ini meningkatkan ketepatan masa, produktiviti, serta mengurangkan kos tempat letak kenderaan.
Beliau berkata integrasi perjalanan akhir atau batuan akhir adalah penting bagi meningkatkan hasil tambang iaitu menampung kos operasi melalui tambang penumpang.
Katanya, ramai pengguna berhenti menggunakan pengangkutan awam kerana laluan terakhir perjalanan mereka tidak selesa, tidak selamat atau tidak boleh diharap.
Tambahnya, keadaan ini boleh diperbaiki dengan pengenalan perkhidmatan pengantara, selain penyelesaian mikromobiliti bersepadu seperti basikal elektrik dan skuter elektrik.
Rahman berkata sistem tiket yang lancar juga menggalakkan penggunaan harian yang lebih kerap, menjadikan pengangkutan awam sebagai satu sistem hujung ke hujung yang boleh diharap, memperkukuh hasil pendapatan dan mengurangkan keperluan sokongan fiskal berulang kepada penyedia perkhidmatan.
Mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian
Pakar pengangkutan, Goh Bok Yen, berkata pertumbuhan berterusan jumlah pengguna pengangkutan awam memerlukan insentif kepada pengguna serta langkah tidak menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian.
Beliau berkata walaupun inisiatif seperti pas My50 berkesan menarik pengguna, kos pemilikan kenderaan persendirian di Malaysia termasuk harga bahan api, cukai jalan dan parkir masih rendah, sekali gus mengurangkan keperluan mendesak untuk beralih mod pengangkutan.
“Kos penggunaan kenderaan persendirian perlu dinaikkan secara berperingkat melalui langkah seperti kadar parkir yang lebih tinggi, pembaharuan harga bahan api dan pelaksanaan caj kesesakan, manakala pengangkutan awam kekal mampu milik dan boleh diharapkan,” katanya.
Goh berkata pengendali pengangkutan awam seperti Prasarana tidak seharusnya dijangka menjana keuntungan.
Katanya, kerugian adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam usaha membantu rakyat beralih kepada penggunaan pengangkutan awam, memandangkan kerajaan menyalurkan subsidi kepada kedua-dua pengguna dan pengendali bagi membina jumlah pengguna jangka panjang.
Beliau berkata penyelarasan yang lebih erat antara agensi persekutuan, pengendali pengangkutan awam dan pihak berkuasa tempatan adalah penting memandangkan jurang dalam infrastruktur tempatan dan akses ke stesen.
Menurutnya, keadaan itu terus menjejaskan usaha menjadikan pengangkutan awam sebagai alternatif hujung ke hujung kepada kenderaan persendirian yang boleh diharapkan.