Isteri bekas PTD didakwa terima hasil aktiviti haram RM5,000

Isteri bekas PTD didakwa terima hasil aktiviti haram RM5,000

Salwani Anuar @ Kamaruddin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Azhar Othman.

Salwani Anuar @ Kamaruddin, isteri bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang isteri kepada bekas panglima tentera darat (PTD), Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000 tahun lalu.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Salwani Anuar @ Kamaruddin, 27, menurut Bernama selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mohd Azhar Othman.

Dia didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke akaun banknya di sebuah cawangan bank di Kerteh, dekat Besut, pada 16 Jan 2025.

Pertuduhan ke atas Salwani dikemukakan di bawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide menawarkan ikat jamin sama yang diberikan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin, bersama syarat perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

“Memandangkan saya akan memohon kes ini dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes tertuduh sebelum ini serta suaminya (Hafizuddeain), tiada halangan sekiranya jaminan sama digunakan hari ini terhadap tertuduh.”

Peguam Fahmi Abd Moin berkata, pihaknya tiada halangan dan bersetuju dengan tawaran jaminan diberikan timbalan pendakwa raya.

Mahkamah membenarkan jaminan sama yang diberikan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini, berserta syarat serupa.

Hakim juga menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mac ini dan membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes sebelum ini.

Pada 22 Jan lalu, Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan sama membabitkan RM77,000 dan dia dibenarkan diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin oleh Hakim Rosli Ahmad.

Pada hari sama, suaminya, Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta, manakala pada Jumaat berikutnya, beliau didakwa di mahkamah Shah Alam atas dua pertuduhan berkaitan kesalahan sama membabitkan RM145,000.

Pada 7 Jan lalu, SPRM melalui Ops Parasit menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender tentera darat. Keesokannya, pegawai itu direman tujuh hari, manakala dua isterinya masing-masing tiga serta enam hari.

Siasatan SPRM yang bermula 7 Okt lalu dianggap sensitif kerana membabitkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis lalu, sepasukan pegawai SPRM ke Kementerian Pertahanan bagi menyiasat beberapa projek membabitkan tentera darat sejak 2023.

Sementara itu, Fahmi ketika ditemui wartawan selepas prosiding mahkamah berkata, anak guamnya yang menghidap bisul kronik di paha akan pulang ke Kuala Lumpur esok atau Rabu untuk menjalani prosedur membuang bisul itu.

Terdahulu, Salwani, yang memasuki kamar mahkamah menggunakan kerusi roda, dilihat berjalan terhincut-hincut ke kandang tertuduh sebelum mendengar pertuduhan ke atasnya sambil duduk di kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.