
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan terdapat keadaan khas yang membolehkan penangguhan diberikan sementara menunggu rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Tegasnya, kerajaan akan berdepan risiko kewangan, jika penangguhan itu tidak dibenarkan.
Kerajaan memohon untuk menangguhkan penghakiman RM37 juta atas alasan ia membabitkan jumlah besar dana awam, yang akan berisiko jika kerajaan perlu membayar sambil meneruskan rayuan mereka.
Pada 5 Nov lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan seorang atau lebih ramai defendan, terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terbabit penculikan Koh serta bertindak atas ‘satu arahan’ sembilan tahun lalu.
Justeru, mahkamah memerintahkan RM33 juta dikenakan terhadap kerajaan atas ‘perbuatan salah’ ke atas Koh.
Tetapi, wang itu perlu disimpan dalam satu dana amanah dan tidak boleh diserahkan terus kepada isteri Koh, Susanna Liew serta tiga anak mereka sehingga keberadaan paderi itu diketahui.
Mahkamah turut memerintahkan RM4 juta dianugerahkan kepada Liew sebagai ganti rugi am dan teruk, bersama kos sebanyak RM250,000.