Siasatan terhadap Apandi diklasifikasi NFA

Siasatan terhadap Apandi diklasifikasi NFA

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Oktober 2022.

Apandi Ali
Bekas peguam negara Apandi Ali membersihkan perdana menteri ketika itu Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung wang yang didepositkan dalam akaun bank peribadinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Siasatan polis terhadap bekas peguam negara (AG) Apandi Ali, yang didakwa menyalahgunakan kuasanya ketika mengendalikan kes 1MDB, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam yang mengingkari undang-undang dengan niat hendak menyelamatkan orang daripada seksaan atau harta daripada dirampas.

“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 5 Okt 2022 dengan keputusan kes NFA,” kata Saifuddin dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH–Labis), yang bertanya status siasatan polis dan tindakan konkrit Kerajaan untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus serta adil.

ulan lalu, peguam Sangeet Kaur Deo mempersoalkan status siasatan 2022 terhadap Apandi berhubung cara beliau mengendalikan kes 1MDB.

Pada Ogos 2022, polis berkata mereka telah menyoal siasat Apandi berhubung laporan yang dibuat terhadapnya, yang mendakwa beliau menyalahgunakan kuasa ketika mengendalikan kes tersebut.

Apandi sebelum ini membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung wang yang didepositkan dalam akaun bank peribadinya ketika beliau berkhidmat sebagai AG dalam kerajaan Najib.

Najib menegaskan wang tersebut adalah derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas minggu lalu dalam saman oleh SRC International dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, Najib mengakui bahawa RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya bukan derma Saudi berdasarkan ‘pengetahuan kemudian’ yang diperolehnya, walaupun pada awalnya beliau mempercayai sebaliknya.

Najib juga berkata beliau menjangkakan pihak berkuasa yang memastikan kesahihan derma Saudi yang didakwa diterimanya, selepas kontroversi timbul pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.