
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan isu yang dibangkitkan terhadap Azam.
Menurutnya, jawatankuasa khas berkenaan akan diketuai Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan diberi tanggungjawab meneliti dakwaan secara menyeluruh serta bebas.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
“Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu jawatankuasa khas diketuai oleh ketua setiausaha negara akan menyiasat dakwaan perkara-perkara yang telah dibangkitkan berkait ketua pesuruhjaya SPRM,” kata menteri komunikasi itu pada sidang media mingguan.
Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.
Namun, terdahulu Azam bersedia disiasat jawatankuasa bebas berhubung laporan mendakwa beliau memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Azam dalam kenyataan berkata, beliau tidak mempunyai perkara disembunyikan dan telah membuat pengisytiharan kewangan dan harta selaras peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi.
Fahmi berkata, sebaik siasatan selesai, dapatan jawatankuasa khas itu akan dibentangkan semula kepada Kabinet untuk pertimbangan dan tindakan susulan.
“Setelah selesai siasatan, maka akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan.
“Ini dalam usaha untuk kita memastikan aspek ketelusan dan integriti proses siasatan dan yang seterusnya,” katanya.