Rafizi akan tulis kepada Bersih berhubung perhimpunan bantah SPRM

Rafizi akan tulis kepada Bersih berhubung perhimpunan bantah SPRM

Bekas menteri berkata ramai pihak menghubunginya dan meminta beliau menganjurkan demonstrasi.

rafizi ramli
Rafizi Ramli akan gerakkan Ahli Parlimen merentas parti supaya turun padang bagi menjelaskan isu kontroversi SPRM kepada pengundi masing-masing. (Gambar Bernama)
AMPANG:
Bekas menteri Rafizi Ramli akan menulis surat kepada Bersih bagi mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan dakwaan dilaporkan Bloomberg.

Rafizi berkata beberapa pihak telah menghubunginya dan menggesa supaya beliau menganjurkan satu demonstrasi awam.

“Namun saya berpendapat Bersih pihak paling sesuai memimpin perhimpunan ini dan kita akan serahkan kepada mereka untuk menentukan tarikh,” katanya kepada pemberita.

Bloomberg sebelum ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, bersamaan 1.7%, berdasarkan penyata tahunan syarikat yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.

Laporan itu turut menyebut nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat yang diselenggara oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang mengehadkan pemilikan saham penjawat awam dalam syarikat diperbadankan di Malaysia kepada tidak melebihi 5% modal berbayar atau bernilai RM100,000, mengikut mana yang lebih rendah.

Azam bagaimanapun menegaskan transaksi itu telah diisytiharkan dan saham berkenaan telah dilupuskan pada tahun lalu. Beliau juga memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan itu.

Bloomberg turut menerbitkan laporan berasingan yang mendakwa SPRM bersekongkol dengan beberapa ahli perniagaan ‘bagi menyokong kepentingan individu tertentu melalui ugutan, tangkapan dan penahanan eksekutif, termasuk dalam beberapa kes mencadangkan pendakwaan’.

SPRM menafikan dakwaan itu dan menegaskan semua siasatan dijalankan ‘secara ketat mengikut undang-undang, berpandukan bukti, serta dilaksanakan secara bebas tanpa takut atau pilih kasih’.

Rafizi berkata beliau juga akan menggesa Ahli Parlimen daripada semua parti supaya turun padang dan menerangkan isu kontroversi membabitkan SPRM kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata beliau akan menulis kepada Ahli Parlimen DAP dan Amanah, menggesa mereka memberi tekanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya menggantung Azam serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.