Bukit Aman siasat Bloomberg kerana didakwa fitnah Azam

Bukit Aman siasat Bloomberg kerana didakwa fitnah Azam

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata siasatan itu berkait artikel pemilikan saham Velocity oleh ketua SPRM tersebut.

m kumar
Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata siasatan dibuat menikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan rangkaian. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis Bukit Aman menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel oleh Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata polis menerima laporan mengenai penyiaran artikel di Bloomberg yang diterbitkan pada 10 Feb yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah terhadap Azam.

Katanya, artikel itu mendakwa Azam memiliki sebanyak 17.7 juta saham dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.

“Susulan itu siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara siasatan dilengkapkan demi menghormati prinsip keadilan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bloomberg dalam artikelnya melaporkan Azam memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, atau 1.7% berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara ini dikatakan melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam boleh memegang saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia, dengan syarat pegangan tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 nilai pasaran, yang mana lebih rendah.

Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg, bagi menuntut ganti rugi RM100 juta berhubung laporan agensi berita antarabangsa itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.