
Sultan Ibrahim bertitah rasuah yang berleluasa akan menghalang rancangan untuk kesejahteraan rakyat, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam angkatan tentera sampai peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan saja jadi panglima angkatan tentera.
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di kastam, imigresen, polis, dan sebagainya, serta termasuk juga yang berada di dalam Dewan yang akan terus diburu sampai jumpa.
“Kepada semua ahli yang berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara. Jika awak menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi rasuah, awak adalah pengkhianat negara,” titah baginda semasa merasmikan pembukaan sesi Dewan Rakyat bagi tahun ini.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim mengingatkan para wakil rakyat akan tekad baginda memerangi rasuah.
“Saya pernah sebut dahulu yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu rasuah, dan nampaknya saya telah berjaya,” katanya.
Sultan Ibrahim turut menggesa rakyat untuk bersama-sama memerangi rasuah.
“Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah. Bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberian rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan,” katanya.
Sementara itu, Sultan Ibrahim mengalu-alukan usaha mengukuhkan undang-undang berkaitan pilihan raya institusi demokrasi dan pendanaan politik.
Baginda turut mengalu-alukan usaha menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, dan ombudsman.