Kalau tidak terima BM, lebih baik jangan duduk di Malaysia, kata Agong

Kalau tidak terima BM, lebih baik jangan duduk di Malaysia, kata Agong

Sultan Ibrahim kata sebarang rancangan untuk buat sistem pendidikan baharu mesti selaras dasar pendidikan kebangsaan.

STUDENT_FORM5_TEACHER CLASSROOM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahu sistem pendidikan negara diperkasa sebagai pembinaan bangsa, jati diri, dan masa depan negara.
KUALA LUMPUR:
Rakyat Malaysia yang tidak boleh menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lebih baik tinggal di tempat lain, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu sistem pendidikan negara diperkasa sebagai pembinaan bangsa, jati diri, dan masa depan negara.

Baginda menambah sebarang rancangan untuk membuat sistem pendidikan baharu mesti selaras dasar pendidikan kebangsaan, dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ianya bahasa kebangsaan.

“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti terima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.

“Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” katanya semasa merasmikan pembukaan sesi Dewan Rakyat tahun ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan mana-mana pihak yang ingin memperjuangkan bahasa lain mestilah memartabatkan bahasa Melayu dan memastikan bahasa kebangsaan dikuasai oleh semua rakyat.

Perdana menteri mengulas mengenai rancangan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, bertemu beliau bagi membincangkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

UEC diberikan bagi Peperiksaan Bersama yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina, dan pada masa ini tidak diiktiraf untuk kemasukan terus ke universiti awam.

UEC diterima di Sabah dan Sarawak untuk kemasukan ke universiti kendalian negeri dan perkhidmatan awam negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.