
Komander PPM Wilayah Dua, Noor Azman Jamal, berkata serbuan kira-kira 4 petang itu menahan lelaki tempatan berusia 50 tahun dipercayai penjaga atau pekerja premis tersebut.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sejumlah besar diesel disimpan di situ dengan terdapat kesangsian terhadap jumlah liter minyak yang direkodkan dalam buku stok.
“Siasatan awal mendapati minyak diesel itu diperoleh melalui pembelian secara sah, namun turut melibatkan pembelian secara runcit dalam kuantiti kecil daripada individu atau sindiket tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, taktik itu dipercayai untuk mengaburkan jumlah sebenar stok diesel yang disimpan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen yang sah.
Semua diesel dirampas dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.