Letupan di Help University, polis belum kesan unsur cuai

Letupan di Help University, polis belum kesan unsur cuai

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya tetap akan meneliti kes itu daripada pelbagai sudut.

letupan help university
Isnin lalu, seorang lelaki maut, manakala sembilan lagi cedera susulan letupan sebuah pemampat penyaman udara, dalam kejadian di Help University. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Polis belum mengesan unsur kecuaian membabitkan kejadian letupan pemampat penyaman udara di kampus Help University di Bukit Damansara, Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata pihaknya tetap akan meneliti kes tersebut dari pelbagai sudut.

Menurutnya, buat masa ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Setakat ini belum lagi (kesan unsur kecuaian). Walau bagaimanapun siasatan akan melihat kepada semua sudut.

“Kalau ada kecuaian yang menyebabkan kemalangan, ada kesalahan yang boleh kita siasat, kita akan maklum,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Cheras Dan Pengerusi Perkep, di IPD Cheras.

Terdahulu, Universiti Help menerusi kenyataan memaklumkan dua pelajar yang cedera dalam kejadian letupan gas tersebut masih menerima rawatan di hospital, manakala dua lagi dibenarkan pulang.

Katanya, enam individu lain yang cedera dalam insiden itu juga dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi Isnin lalu, seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia, manakala sembilan lagi cedera.

Mangsa maut, Soo Yu Juan, 24, merupakan pelajar tahun ketiga kursus kejuruteraan mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.