
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan pada 16 Jan lalu itu, dua individu termasuk seorang wanita, masing-masing berusia 30an turut ditahan.
Hussein berkata dalam operasi melibatkan JSJN Bukit Aman dan kontinjen Perak itu turut merampas methamphetamine seberat 843.3kg serta cecair dan serbuk disyaki bahan kimia dengan anggaran berat 679.22kg termasuk pelbagai peralatan memproses dadah.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan tempat letak kereta di banglo itu turut menemukan sebanyak 618.24kg bahan yang telah diproses menjadi ketulan simen.
“Analisis yang dibuat mendapati bahan itu mengandungi dadah jenis MDMA,” katanya pada sidang media di IPK Perak, lapor Bernama.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Dis 2024 dan didalangi warga asing.
Katanya, semua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Suspek kini direman sehingga 29 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.