
Azam berkata, SPRM telah menerima makluman daripada Serious Fraud Office (SFO) UK berhubung dakwaan wujudnya isu dalam IJM, membabitkan tadbir urus korporat, prosedur perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara, dianggarkan bernilai sekitar RM2.5 bilion.
“Sebagai agensi dalam negara yang menjalankan tanggungjawab menyiasat rasuah, salah guna kuasa dan jenayah kewangan, (SPRM) akan membantu pihak berkuasa berkenaan (SFO) dalam melengkapkan proses (siasatan) tersebut,” katanya, lapor Sinar Harian.
SPRM telah merakam keterangan sembilan individu, termasuk dua eksekutif kanan IJM, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion. Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Agensi antirasuah itu difahamkan sedang meneliti unsur manipulasi harga saham yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes pengubahan wang haram tersebut.
Pada Selasa, IJM memaklumkan pihaknya dan rakan sekutunya di UK tidak tahu-menahu tentang siasatan rasuah atau pengubahan wang haram dijalankan oleh SFO.
Syarikat itu turut menyangkal dakwaan pengubahan wang haram membabitkan dua individu yang dikaitkan dengannya, termasuk pengerusinya, Krishnan Tan.
IJM memberi jaminan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan, sambil menegaskan segala pelaburannya di UK mematuhi proses penilaian perniagaan dan prosedur tadbir urus dalaman yang ditetapkan.