
Cadangan itu disediakan jawatankuasa kajian EAIC dan melibatkan pasukan petugas khas dianggotai 19 wakil daripada 13 kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Menurutnya, langkah-langkah itu antara lain disasarkan kepada penambahbaikan tatakelola lokap, depot Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta pusat tahanan di bawah seliaan agensi penguatkuasaan.
Antara agensi terlibat ialah JIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pelaksanaan semua syor berkenaan dijangka melibatkan implikasi kewangan dan perundangan, yang akan dikaji dan diperhalusi secara berasingan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan serta praktikal.
“Laporan jawatankuasa kajian itu diharap dapat membantu kerajaan menambah baik dasar sedia ada serta undang-undang baharu.
“Ini termasuk mengenal pasti kelemahan sistemik yang menyumbang kepada kes kematian dalam tahanan, selain memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pendekatan bersepadu itu juga penting bagi memastikan perlindungan hak asasi manusia terus diberi keutamaan dalam pengurusan pusat tahanan.
“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan EAIC dan semua agensi terlibat untuk menambah baik tadbir urus pusat tahanan di Malaysia secara menyeluruh.
“Ia juga dapat mencegah sebarang insiden berkaitan kematian dalam tahanan,” katanya.