Kekal menteri pendidikan, Fadhlina akan buat lebih baik

Kekal menteri pendidikan, Fadhlina akan buat lebih baik

Sebelum ini penganalisis melihat Fadhlina Sidek paling berisiko digantikan ketika Anwar Ibrahim bersedia umum barisan Jemaah Menteri baharu.

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek berkata akan buat lebih baik untuk pendidikan dan anak-anak. (Gambar Bernama)
BANGI:
Fadhlina Sidek merakamkan penghargaan kepada perdana menteri yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin Kementerian Pendidikan walaupun sebelum ini dilihat paling berisiko digantikan dalam rombakan Jemaah Menteri.

Beliau berkata akan terus memimpin KPM dengan lebih baik bersama timbalan Wong Kah Woh.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan (memberi) kepercayaan untuk meneruskan memimpin KPM bersama timbalan (Wong).

“Kami akan buat lebih baik untuk pendidikan dan anak-anak kita,” katanya ditemui selepas majlis bersama pengamal media.

Fadhlina kekal sebagai menteri pendidikan dalam rombakan Jemaah Menteri diumumkan Anwar Ibrahim hari ini.

Sebelum ini, penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan, berkata Fadhlina dilihat paling berisiko digantikan ketika Anwar bersedia mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu.

Azmi berkata, menteri daripada Pakatan Harapan (PH) adalah kumpulan paling berisiko kerana Anwar mempunyai lebih banyak kuasa budi bicara dalam pelantikan mereka.

Fadhlina, ketua Wanita PKR, berdepan banyak desakan supaya meletakkan jawatan berikutan beberapa insiden membimbangkan di sekolah yang melibatkan kes bunuh, rogol dan buli.

Beliau mengakui kelemahan dirinya dan akan mengambil kritikan itu sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi.

Ketika berucap dalam majlis itu, Fadhlina berkata kritikan media yang berfakta dan membina bukan ancaman, sebaliknya sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam sebuah demokrasi yang sihat.

“Media memainkan peranan penting sebagai cerminan realiti di lapangan dengan menghubungkan dasar digubal di peringkat kementerian kepada situasi sebenar yang berlaku.

“Misalnya di sekolah dan komuniti, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau. Kritikan yang jujur dan berasaskan fakta adalah suara rakyat. Ia perlu diterima dengan hati terbuka kerana daripada situlah penambahbaikan boleh dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.