
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, landskap politik semasa khususnya kekuatan PAS dalam naratif agama memberi tekanan besar kepada kerajaan perpaduan, sekali gus menjadikan portfolio agama satu jawatan yang sensitif dan berisiko tinggi.
“Portfolio agama ini menjaga banyak perkara dan dalam konteks sekarang, mungkin lebih sesuai dipegang oleh seorang teknokrat yang bukan ahli politik.
“Amanah masih boleh mengisi jawatan timbalan menteri, tetapi secara realistik saya tidak melihat Amanah berada pada posisi cukup kuat untuk melobi jawatan menteri,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Exco Pemuda Amanah Azri Abdullah mempersoalkan pelantikan aktivis Marhamah Rosli sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) dan tiada wakil parti itu dalam portfolio terbabit.
Selain menyebut Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa, beliau mencadangkan Anwar melantik Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat atau Ketua Pemuda, Hasbie Muda ke jawatan itu.
Mujahid dan Hasbie adalah senator, manakala Suhaizan mewakili Parlimen Pulai.
Rombakan Kabinet kelmarin menyaksikan Na’im Mokhtar digugurkan sebagai menteri hal ehwal agama dan digantikan Timbalannya, Zulkifli Hasan.
Pemimpin Amanah yang kekal dengan portfolio masing-masing adalah Presiden Mohamad Sabu (menteri pertanian dan keterjaminan makanan) dan Naib Presiden Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan).
Syaza memahami kekecewaan mungkin dirasai pimpinan Amanah susulan pelantikan terbaru dalam kerajaan, namun menegaskan isu itu tidak akan menggugat hubungan parti berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH).
“Jika dilihat dari segi nisbah wakil rakyat, DAP sebenarnya adalah pihak paling ‘rugi’. Amanah masih berada dalam keadaan yang boleh diterima.
“Walaupun sebagai rakan dalam PH mereka mungkin merasakan keutamaan sepatutnya diberi, realitinya Amanah tidak mempunyai leverage (daya tawar) yang kuat,” katanya.
Bagaimanapun, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpandangan rombakan Kabinet tidak mencerminkan kemerosotan pengaruh parti itu, sebaliknya mengambil kira pengagihan kuota ditetapkan dalam kerajaan perpaduan.
“Isu Amanah tidak dilantik langsung tiada kaitan dengan soal pengaruh merosot. Ini semata-mata kerana kuota Amanah dalam Kabinet sudah dipenuhi,” katanya.
Mazlan berkata, Amanah yang mempunyai lapan Ahli Parlimen kini diwakili dua menteri dan dua timbalan menteri, bersamaan lebih 50% perwakilan berbanding jumlah kerusi dimiliki parti itu.
“Jika ditambah lagi, perwakilan Amanah akan melebihi 60%, sedangkan parti lain seperti Umno dengan 26 kerusi hanya mendapat sekitar 12 jawatan, manakala DAP yang mempunyai 40 kerusi memperoleh sekitar 12 hingga 13 jawatan Kabinet,” katanya.
Sementara itu, penganalisis geopolitik Azmi Hassan berkata secara prinsip Amanah mempunyai tokoh berkaliber dalam hal ehwal agama, termasuk Mujahid sebagai bekas menteri, namun portfolio itu sejak awal tidak terikat kepada kepentingan parti politik.
Beliau berkata, pelantikan menteri agama melalui laluan senator mencerminkan strategi Anwar untuk mengekalkan jawatan itu bebas daripada liabiliti politik parti.
“Ia selari dengan pendekatan melantik individu yang dilihat profesional, sekali gus menjelaskan mengapa Amanah tidak dipertimbangkan walaupun mempunyai calon berpengalaman,” katanya.