
Anwar, yang juga menteri kewangan, setiap anggota Kabinet mesti terus bekerja dengan disiplin dan berkhidmat dengan penuh kerendahan hati, memastikan pelaksanaan dasar bergerak pantas, berintegriti serta sampai kepada rakyat tanpa lengah dan sebarang alasan.
“Ini adalah Kabinet penerus kehendak rakyat yang memikul amanah besar, menuntut tindakan segera, keputusan berani serta keupayaan menterjemah kehendak dan nurani setiap lapisan masyarakat menjadi dasar yang berfungsi dan dirasai, bukan sekadar retorik,” katanya dalam catatan di Facebook.
Perdana Menteri turut berkongsi beberapa keping gambar mesyuarat Kabinet MADANI yang berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, di Istana Negara hari ini.
Sebanyak tujuh menteri termasuk dua baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, termasuk pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Selain pertukaran portfolio menteri sedia ada, ia antara lain melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat menteri penuh.