
Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang dilantik ke Kabinet perlu mengotakan janji dibuat semasa tiada jawatan kerana rakyat kini bijak menilai.
“Jika menteri buat kerja dengan baik, maka rakyat akan beri sokongan dan undi pada parti beliau.
“Rakyat bukan tidak pandai menilai,” katanya sambil mengingatkan Kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam tiada masa bersuka ria selain membuat kenyataan
menyinggung perasaan dan sensitiviti rakyat.
“Dan ingat negara ini ada undang-undang dan perlembagaan yang perlu dipatuhi. Bukan bila dah jadi menteri semua kamu nak langgar.”
Akmal berkata pelantikan ahli Kabinet adalah hak prerogatif perdana menteri termasuk melantik individu yang bukan wakil rakyat.
Menurutnya, sesiapa yang dirasakan layak boleh dilantik kerana menteri dipilih menjadi lambang air muka serta visi kepimpinan perdana menteri itu sendiri.
“Pelantikan itu tidak perlu dipertikaikan kerana ia ‘baju’ dipilih perdana menteri untuk dipakai dalam memimpin negara,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu menyaksikan 10 lantikan baharu masing-masing melibatkan dua menteri dan lapan timbalan menteri.
Antara kritikan terhadap senarai Kabinet baharu itu datang daripada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mendakwa pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina ke portfolio Wilayah Persekutuan sebagai strategi mengukuhkan dominasi DAP di bandar utama.
Hannah Yeoh dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan, manakala Lo Su Fui dari Gabungan Rakyat Sabah dilantik sebagai timbalannya, sementara Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming, dikekalkan sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.