
Lelaki berusia 63 tahun itu dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Kulai untuk menghadapi pertuduhan bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan, kerana penggunaan kenderaan dengan nombor pendaftaran yang diubah, ditutup atau dikaburkan, menurut Buletin TV3.
Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, dilapor berkata, pertuduhan itu khusus berkaitan kesalahan mengubah atau menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan, dan bukannya berkaitan tindakan mengisi petrol bersubsidi.
Jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Lelaki itu dirakam mengisi minyak kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dengan nombor plat yang ditutup di sebuah stesen minyak di Kulai, Johor.
Undang-undang yang melarang kenderaan pendaftaran asing membeli RON95 dikuatkuasakan bawah Akta Kawalan Bekalan dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan, sejak 17 Jun 2022.