Warga Singapura disyaki dalang sindiket penyeludupan, elak cukai RM3.5 bilion ditahan

Warga Singapura disyaki dalang sindiket penyeludupan, elak cukai RM3.5 bilion ditahan

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira 5 petang semalam.

warga Singapura-rasuah
Suspek warga Singapura dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Warga Singapura yang disyaki dalang sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion, berjaya ditahan semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira 5 petang semalam.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah reman selama enam hari sehingga 30 Jun ini yang dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Sumber berkata suspek disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan membantu melepaskan barang-barang diimport syarikat-syarikat miliknya untuk tidak dikenakan bayaran cukai.

“Dia disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2024. Siasatan awal mendapati wang suapan itu diberikan secara tunai kepada kesemua pegawai penguat kuasa.

“Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket itu yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Menurutnya, syarikat berkenaan berperanan sebagai ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Susulan itu, SPRM menahan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang, Selangor yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.

Hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.