
Harian Metro melaporkan Seah Yan Sheng Romeo, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Arun Noval Dass, yang turut memerintahkannya dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
Bapa kepada empat anak itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki 33 tahun di sebuah pusat hiburan di Taman Setia Jaya, Batu Pahat pada 2.30 pagi 5 Okt lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa ketika berada di pusat hiburan itu didatangi tertuduh bersama empat rakannya yang memasuki bilik karaoke disewanya.
Tertuduh sempat bertanyakan mangsa sama ada membawa isterinya, tetapi lelaki itu menafikannya dan tiba-tiba menumbuk mukanya hingga berdarah.
Tertuduh juga didakwa menumbuk kepala mangsa berkali-kali sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan mangsa terjatuh dengan kepalanya terkena meja hingga berdarah dan dibawa ke hospital.
Laporan perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan dan tertuduh ditahan polis untuk siasatan lanjut.