Warga Singapura mengaku tak salah dakwa diri rasul

Warga Singapura mengaku tak salah dakwa diri rasul

Idris Ami, 60, turut mendakwa dirinya ada roh kudus yang merujuk roh rasul terdahulu, iaitu Nabi Adam hingga Nabi Muhammad.

Idris Ami dan seorang wanita tempatan dipercayai orang kanannya dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah yang mendakwa dirinya rasul dan ada roh kudus.

Idris Ami, 60, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Zulfikri Yasoa.

Mengikut pertuduhan, pemandu forklift itu didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun, dengan mendakwa dirinya utusan, iaitu rasul bagi zaman ini di sebuah rumah di Kuala Pilah kira-kira 11 malam antara 6 hingga 8 Okt 2023.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengajar ajaran salah kepada individu sama, dengan mendakwa dirinya ada roh kudus yang merujuk roh rasul terdahulu, iaitu Nabi Adam hingga Nabi Muhammad pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwa Syarie Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah tidak melepaskan atau menawarkan sebarang jaminan serta tertuduh dihantar ke penjara kerana dia warga asing dan bon jaminan akan menyebabkan dia pulang ke negara asal, sekali gus mengganggu proses pendakwaan.

Hakim menetapkan bon jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan empat penjamin warga tempatan bermastautin di Negeri Sembilan, tidak dibenarkan keluar Malaysia sehingga perintah lain dikeluarkan serta melaporkan diri kepada ketua penguasa agama negeri bagi memastikan kehadiran di mahkamah setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 19 Nov ini.

Dalam perkembangan lain, Zulfikri membebaskan seorang wanita tempatan 42 tahun yang dipercayai orang kanan tertuduh dengan bon jaminan RM4,000 dan seorang penjamin bermastautin di negeri ini.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah ketika ditemui berkata, kedua-dua individu itu ditahan di Muadzam Shah, Pahang ketika dalam perjalanan ke Terengganu pagi tadi.

“Kita telah siasat maklumat berkaitan ajaran baharu dikenali ajaran Cahaya yang dilakukan di sebuah rumah di Kuala Pilah. Ajaran itu dipercayai diajar lebih setahun lepas di daerah itu dan ada di antara pengikutnya sudah keluar daripada ajaran terbabit.

“Kita dapati ajaran ini bertentangan hukum syarak, termasuk mempercayai tertuduh roh kudus atau bersatu dengan roh Nabi Adam dan Nabi Muhammad. Selain itu, dia mendakwa tidak perlu berzikir dan solat, serta bersentuhan dalam kalangan bukan muhrim itu dianggap tidak berdosa.”

Ahmad Zaki berkata, selain menyebarkan ajaran secara berkumpulan, mereka turut menggunakan media sosial untuk mempengaruhi pengikut percaya dengan fahaman bertentangan hukum dan siasatan mendapati ajaran itu hanya tersebar di daerah terbabit.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain dalam waktu terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.