Warga Singapura diberkas bersama 1.7kg heroin di Johor

Warga Singapura diberkas bersama 1.7kg heroin di Johor

Lebih 67g syabu turut ditemukan bersama lelaki berusia 39 tahun dipercayai 'runner' di sebuah pangsapuri di Forest City.

handcuff
Suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
ISKANDAR PUTERI:
Polis menahan seorang warga Singapura bersama 1.7kg heroin dan 67.13g syabu bernilai RM21,106 di sebuah pangsapuri di Forest City pada 12 Feb lepas.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu, dipercayai ‘runner’, ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Iskandar Puteri dalam serbuan kira-kira 8 malam.

“Suspek disyaki berperanan membawa dadah ini untuk pasaran luar negara dan dia dipercayai menyewa pangsapuri berkenaan, yang merupakan kediaman berpagar dan berpengawal,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri hari ini.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati warga Singapura itu positif dadah jenis methamphetamine dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek lain dalam kegiatan pengedaran dadah itu.

Kumarasan berkata, sebuah kereta Audi A5 serta jam tangan Nixon turut disita dalam serbuan itu, dengan keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM53,656.

Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula 12 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.