
Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata laporan diterima kelmarin berhubung kejadian yang dipercayai berlaku 27 Dis lalu dan dirakam kamera papan pemuka (dashcam).
“Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki memandu secara gopoh dengan mengekori kenderaan pengadu, memberhentikan kenderaan secara mengejut serta menghalang laluan yang berpotensi membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham semasa memandu.
Katanya, warga tempatan 33 tahun itu menyerah diri di IPD Subang Jaya bagi membantu siasatan bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh dan Seksyen 341 Kanun Keseksaan berkaitan halangan salah.
“Rakaman percakapan suspek telah diambil dan beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan. Suspek juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka melalui media sosial.”
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya turut membuka kertas siasatan berhubung kesalahan menghalang lalu lintas.
Polis meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7100 atau pegawai penyiasat Rozaimi Ramli di 012-394 5718.