
Baginda menegaskan Perlis boleh mengadaptasi strategi seperti program pertukaran teknologi digital, kerjasama pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), lawatan kerja strategik, menyertai kursus kepimpinan, tadbir urus dan kelestarian untuk memacu pertumbuhan serta taraf hidup rakyat bagi menyesuaikan model Singapura mengikut keperluan tempatan di negeri itu.
Baginda bertitah demikian ketika menyertai program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar Kampung Paya, dekat Kangar, baru-baru ini, yang turut diiringi Setiausaha Pertama (Politik) Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, Muhammad Amin Abdul Rahim.
Berangkat sama anakanda baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Sementara itu, Amin berikrar untuk mengukuhkan lagi hubungan erat Singapura dengan Perlis melalui Suruhanjaya Singapura di negara ini, khasnya dalam bidang pendidikan, hubungan serantau dan budaya.
Beliau turut memuji Tuanku Syed Faizuddin “berjiwa rakyat” kerana kerap turun padang berinteraksi dengan rakyat melalui aktiviti sosial “Kayuhan MAIPs Peduli”, sekali gus menunjukkan teladan kepimpinan baik dan berkesan.
Sempena program kayuhan edisi keempat ini, baginda berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga keluarga asnaf terpilih dari Kampung Paya Senduk dan Kampung Paya Besar.