
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL Shaharrudy Othman berkata inisiatif itu selari dengan peranannya sebagai agensi pemungut cukai negara yang bukan sahaja bertanggungjawab mengutip hasil, tetapi turut komited membantu golongan memerlukan melalui program bersasar dan berimpak tinggi.
“Pelaksanaan program bersama MAIPs ini mencerminkan komitmen berterusan HASiL dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat secara inklusif dan mampan,” katanya.
Program kali ini dilaksanakan menerusi aktiviti kayuhan basikal MAIPs Peduli, sebagai pendekatan turun padang bagi menyantuni tiga keluarga asnaf di sekitar Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sempena program itu, HASiL turut melaksanakan kerja mengecat semula serta menceriakan Rumah Penghulu Omar di Kampung Warna-Warni, sebagai usaha memulihara warisan kampung di samping mengekalkan identiti dan keunikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah kepada penghuni tiga rumah asnaf.
HASiL pula menyalurkan bantuan tunai serta barangan keperluan asas bagi meringankan beban keluarga terlibat.
Tiga penerima sumbangan ialah Isma Bahari, 81; Asmizan Ismail, 44; dan Razinah Mat Akib, 82, yang kesemuanya penduduk Kampung Tengah, Seberang Ramai.