
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha inovasi itu penting bagi memastikan keadilan dapat disampaikan dengan lebih cepat, berkesan, dan mesra umat.
“Mahkamah Syariah perlu menyediakan mekanisme jelas, mudah diakses, dan efisien bagi membolehkan orang awam menyelesaikan kes mereka dengan segera, khususnya melibatkan perkara-perkara yang tidak rumit dan boleh diselesaikan melalui pendekatan alternatif.
“Dalam menghadapi keperluan ini, hakim-hakim syarie hendaklah sentiasa bersedia dari segi ilmu, kemahiran, dan sikap keterbukaan terhadap pembaharuan, selaras tuntutan semasa dan harapan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah,” titah baginda dalam kenyataan.
Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis.
Program Hijrah Minda dianjurkan bertujuan menyemai kesedaran serta memperkukuh penghayatan nilai Islam dalam kalangan masyarakat, selari usaha berterusan MAIPs membimbing umat ke arah pembentukan akhlak dan pemikiran seimbang serta berteraskan syariat.
Sempena penganjuran program tersebut, Syed Faizuddin yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 asnaf terpilih.
Ia melibatkan 75 anak kariah Masjid Al-Hussain, 75 anak kariah Seriab, 75 anak kariah Titi Tok Bandar serta 75 anak kariah Tok Kaya dalam membantu meringankan beban kewangan mereka dan memperkukuh kesejahteraan hidup komuniti setempat.