
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pegawai itu dipanggil ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada 11 pagi tadi.
“Hari ini kita panggil beliau untuk membantu siasatan dan rakaman percakapan bermula 11 pagi tadi.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun rakaman percakapan masih berjalan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau menambah, hanya pegawai itu dipanggil setakat ini bagi dirakam percakapannya.
Semalam, Berita Harian melaporkan, SPRM sedang menyiasat seorang pegawai kanan berusia 50an yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana yang dikhususkan untuk pembelian senjata.
Sebelum ini, siasatan SPRM terhadap dakwaan wujudnya kartel perolehan tentera membawa kepada penahanan bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan serta dua isterinya.
Selain itu, SPRM turut menyiasat pemilik 26 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kontrak perolehan tentera yang didakwa melibatkan pegawai kanan tentera terbabit.
Beberapa syarikat dikatakan telah berulang kali memperoleh kontrak bernilai tinggi sejak 2023 menerusi pemberian rasuah.