Apa yang anda bayar dalam bil pembetungan?

Apa yang anda bayar dalam bil pembetungan?

Perkhidmatan pembetungan mungkin sukar dilihat dalam kehidupan seharian, namun nilainya tidak boleh dipandang ringan.

Tangki septik perlu disedut secara berkala sebaiknya setiap dua tahun bagi mengelak limpahan dan pencemaran alam sekitar.
PETALING JAYA:
Pengurusan air sisa kumbahan adalah perkhidmatan sangat penting demi memastikan kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan sanitasi kekal terjaga.

Tanggungjawab itu dipikul syarikat pembetungan negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd tatkala perkhidmatan pembetungan sering kali diambil mudah atau terus dilupakan, mungkin kerana ramai tidak tahu apa akan berlaku selepas air kumbahan dipam atau keluar dari premis kediaman/perniagaan.

Perkara paling kerap ditanya pemilik premis ialah mengenai bil pembetungan, dan ia sering menimbulkan persoalan seperti: “Bayaran ini sebenarnya untuk apa? Bagaimanakah perkhidmatan ini dilaksanakan?”

Bagi memahami dengan lebih jelas, penting untuk terlebih dahulu mengetahui jenis sistem pembetungan terdapat di Malaysia.

Terdapat dua jenis sistem pembetungan utama iaitu sistem pembetungan bersambung dan tangki septik (individu atau komunal).

Sistem bersambung merujuk kepada premis yang disambungkan ke rangkaian paip pembetungan awam. Air kumbahan dari premis ini disalurkan melalui paip pembetungan bawah tanah ke loji rawatan kumbahan awam dikendalikan IWK. Premis menggunakan sistem ini akan menerima bil pembetungan setiap enam bulan, merangkumi kos kutipan, rawatan dan penyelenggaraan infrastruktur.

Tangki septik pula digunakan oleh premis yang tidak bersambung ke sistem pembetungan awam. Premis ini bergantung kepada tangki septik individu atau komunal untuk menyimpan air sisa kumbahan secara sementara. Tangki ini perlu disedut secara berkala (sebaiknya setiap dua tahun) bagi mengelak limpahan dan pencemaran alam sekitar. Untuk premis jenis ini, IWK menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik melalui permohonan daripada pelanggan. Tiada bil berkala dikenakan kecuali apabila perkhidmatan dijalankan, dan bayaran sekali sahaja akan dikenakan bagi setiap perkhidmatan pengosongan tangki septik yang dibuat.

Apa yang termasuk dalam pembayaran?

Bagi sistem pembetungan bersambung, caj dikenakan adalah mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006: Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 dan (Pindaan) 2025.

Caj dikenakan bagi perkhidmatan pembetungan adalah untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan infrastruktur pembetungan moden negara. Ini merangkumi pengoperasian dan penyelenggaraan 9,133 loji rawatan kumbahan serta stesen pam, dan lebih 22,000km rangkaian paip pembetungan bawah tanah untuk kegunaan kira-kira 32 juta penduduk setara (cPE). Pemantauan dan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar, serta kerja naik taraf dan pembaikan infrastruktur, turut menjadi antara peranan utama dilaksanakan.

Loji rawatan kumbahan IWK beroperasi 24 jam kerana proses rawatan air kumbahan adalah tugas berterusan.

Loji rawatan kumbahan (LRK) IWK beroperasi secara berterusan, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kerana proses rawatan air kumbahan adalah tugas berterusan. Memastikan semua peralatan berfungsi secara optimum melalui sistem pemantauan canggih adalah penting bagi mengurangkan sebarang gangguan operasi. Walaupun kebanyakan LRK dilengkapi sistem mekanikal dan automatik, ribuan pekerja masih diperlukan untuk mengurus dan menyelenggara keseluruhan sistem dengan berkesan.

Walaupun perkhidmatan pembetungan banyak beroperasi di sebalik tabir, kesannya sangat besar untuk mencegah pencemaran sungai, tanah dan sumber air oleh air sisa kumbahan yang tidak dirawat. Ini memberi kesan secara langsung bukan sahaja kepada alam sekitar, tetapi kepada kesihatan awam dan sistem sanitasi negara.

Mengapa caj IWK perlu diselaras?

IWK mengekalkan struktur tarif sama selama hampir 28 tahun sejak penubuhannya pada 1994. Namun, sepanjang tempoh itu permintaan terhadap perkhidmatan pembetungan semakin meningkat dengan ketara. Syarikat mengambil alih lebih banyak loji rawatan serta berdepan kenaikan kos operasi selain perlu menguruskan jumlah air sisa kumbahan yang semakin bertambah—semuanya tanpa sebarang pelarasan caj sehinggalah baru-baru ini.

Caj pembetungan telah ditetapkan kerajaan berdasarkan prinsip kemampuan dan kesaksamaan bagi menyokong pengurusan pembetungan yang cekap. Struktur tarif disemak semula pada 1 Okt 2022 bagi perkhidmatan pengosongan tangki septik, dan pada 1 Jan 2023 bagi perkhidmatan pembetungan bersambung. Maklumat lanjut boleh dirujuk dalam Peraturan-peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022 di sini dan (Pindaan) 2025 di sini.

Pelarasan tarif mencerminkan keperluan untuk mengekalkan dan menambah baik sistem pembetungan negara supaya selaras piawaian moden, mematuhi peraturan alam sekitar serta menyokong pertumbuhan populasi yang semakin meningkat.

Untuk memahami dengan lebih jelas ke mana perginya kutipan bayaran bil IWK, berikut ialah pecahan kepada jumlah disalurkan:

IWK mengenakan caj kepada pelanggan di bawah kos sebenar bagi penyediaan perkhidmatan pembetungan. Purata kos penyelenggaraan bagi premis yang disambung ke sistem pembetungan berpusat adalah sekitar RM17 sebulan, manakala caj semasa hanya berada dalam lingkungan RM4.09 hingga RM12.32 sebulan, bergantung kepada kategori premis.

Perbezaan ketara antara caj semasa dan kos operasi sebenar juga jelas dalam perkhidmatan pengosongan tangki septik IWK, di mana pelanggan hanya dikenakan RM192 bagi setiap perkhidmatan, sedangkan kos sebenar adalah sekitar RM430 bagi setiap tangki septik individu—berdasarkan purata isi padu sedutan 1.7m³ dan kos seunit sebanyak RM263 setiap m³.

Perkhidmatan pembetungan mungkin sukar dilihat dalam kehidupan seharian, namun nilainya tidak boleh dipandang ringan. Caj dibayar kepada IWK dapat membantu usaha melindungi kesihatan, alam sekitar, serta memastikan komuniti kekal bersih dan selamat. Memahami peranan perkhidmatan pembetungan dan bagaimana sistem pengebilan dapat membantu menghargai usaha diperlukan dalam mengurus salah satu kemudahan awam terpenting bagi masyarakat Malaysia.

Bayangkan pada masa depan, di mana IWK tidak lagi mampu beroperasi dengan cekap — loji rawatan kumbahan gagal berfungsi, sungai tercemar, risiko kesihatan meningkat, dan alam sekitar terjejas. Apakah akan terjadi kepada sumber air negara dan alam kita? Justeru, IWK sentiasa menghargai segala kerjasama dan sokongan pelanggan dalam menjelaskan bil perkhidmatan pembetungan. Sokongan anda beri hari ini dapat menjamin masa depan generasi akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.