Letupan IED di Nilai kerana dendam terhadap bekas kekasih

Letupan IED di Nilai kerana dendam terhadap bekas kekasih

Polis berkata suspek berdendam dengan wanita yang berpisah dengannya lima tahun lalu.

Ketua Polis Nilai Johari Yahya berkata suspek sering bercerita kepada saksi mengenai bekas teman wanitanya dan mengaku menghasilkan IED itu ketika disoal siasat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis berkata, suspek utama kes letupan di Nilai bulan lalu dipercayai menghasilkan peranti bahan letupan buatan sendiri (IED) itu untuk membalas dendam terhadap bekas teman wanitanya.

Ketua Polis Nilai, Johari Yahya, berkata lelaki 62 tahun itu ketika disoal siasat mengaku menghasilkan IED berkenaan kerana berdendam dengan bekas kekasih yang berpisah dengannya lima tahun lalu.

“Suspek sering bercerita kepada saksi mengenai teman wanitanya. Keterangan ini mengukuhkan pengakuan suspek mengenai dendam ke atas bekas kekasihnya.

“Buat masa ini, kami masih menjalankan soal siasat terhadap suspek kerana kesihatannya tidak mengizinkan dan masih dirawat, namun dalam keadaan stabil,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, keterangan suspek juga tidak konsisten mungkin disebabkan keadaan kesihatannya.

Katanya, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan permohonan polis menyambung reman lelaki itu di Hospital Tuanku Ja’afar semalam selama tujuh hari mulai hari ini hingga 10 Jan.

Menurut laporan media, suspek ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan melecur pada muka, tangan dan kaki di kawasan hutan dekat Batang Benar, Nilai pada 27 Dis lalu.

Suspek dikatakan bersembunyi di hutan selepas letupan dalam sebuah kereta ketika dia dipercayai sedang mengalihkan peranti itu pada 22 Dis lalu.

Lelaki itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti serta peralatan yang dirampas di rumah sewanya.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 307 dan 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.