
Lima lelaki berusia 17 hingga 33 tahun ditahan dalam operasi kira-kira 3.30 petang itu, terdiri daripada empat warga tempatan dan seorang warga China.
“Premis itu dipercayai dijadikan pusat panggilan bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian dan semua suspek dipercayai berperanan sebagai khidmat pelanggan bagi sindiket tersebut.
“Siasatan awal juga mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Nov 2025 dengan menyasarkan warga Taiwan sebagai mangsa,” kata Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, dalam kenyataan.
Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk komputer, telefon bimbit dan peralatan rangkaian dianggar berjumlah RM40,000.
Semua suspek direman bermula hari ini hingga 8 Feb. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, tiada kerugian dilaporkan namun kita ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa risiko.
“Orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penipuan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” katanya.