MPM benarkan doktor berkhidmat hingga terima sijil amalan 2026

MPM benarkan doktor berkhidmat hingga terima sijil amalan 2026

Majlis Perubatan Malaysia memohon maaf atas kelewatan memproses dan mengeluarkan sijil perakuan amalan tahunan akibat 'lonjakan mendadak' jumlah permohonan.

doctor
Majlis Perubatan Malaysia berkata ia akan mengambil langkah bagi memastikan kelewatan mengeluarkan perakuan amalan tahunan doktor tidak berulang.
PETALING JAYA:
Majlis Perubatan Malaysia (MPM) memberi jaminan kepada doktor yang sudah mengemukakan permohonan, tetapi belum menerima sijil perakuan amalan tahunan (PAT) mereka untuk terus berkhidmat tanpa dikenakan penalti.

Menurutnya, keputusan itu terpakai kepada mana-mana pengamal perubatan yang sudah mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran pada atau sebelum 31 Dis lalu.

“Ini dengan syarat pengamal perubatan tersebut tidak tertakluk kepada sebarang sekatan, penggantungan atau larangan amalan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta Perubatan 1971,” katanya dalam kenyataan.

MPM berkata, tarikh kuat kuasa PAT bermula 1 Jan atau mengikut tarikh perlindungan indemniti profesional, bukan tarikh kelulusan atau sijil dikeluarkan.

Permohonan PAT perlu mematuhi keperluan di bawah Seksyen 20 Akta Perubatan 1971 dan Peraturan 28 Peraturan Perubatan 2017.

MPM memohon maaf atas kelewatan memproses dan mengeluarkan PAT akibat “lonjakan mendadak” jumlah permohonan diterima pada akhir tahun lalu. Ia termasuk permohonan dihantar bersama dokumen sokongan yang diterima lewat.

Katanya, ia mahu memastikan perkhidmatan perubatan kepada orang ramai tidak terganggu.

“MPM juga akan mengambil langkah penambahbaikan sewajarnya untuk memastikan permasalahan ini tidak berulang.”

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia dilaporkan berkata, ribuan doktor lewat menerima sijil mereka menyebabkan pengamal perubatan – khasnya mereka yang berkhidmat di sektor awam – berada dalam ketidakpastian walaupun sudah mematuhi sepenuhnya semua keperluan statutori.

Sambil menegaskan ia kesalahan di bawah Akta Perubatan untuk doktor mengamalkan perubatan tanpa PAT sah, Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu, berkata doktor berisiko terjejas mata pencarian, kedudukan profesional dan kesinambungan penjagaan pesakit jika mereka tidak dapat berkhidmat walaupun untuk tempoh singkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.