
MMA berkata, ia menerima jaminan bertulis daripada rakan insurans indemniti profesionalnya, Medical Protection Society (MPS) dan Medefend, doktor disahkan untuk perlindungan indemniti mulai 1 Jan lalu dan sudah mengemukakan permohonan APC lengkap sebelum 31 Dis lalu akan terus dilindungi sepenuhnya sepanjang tempoh interim.
“Komitmen daripada MPS dan Medefend ini memberikan jaminan penting kepada ahli kami dan seluruh komuniti perubatan, serta memastikan kesinambungan perlindungan indemniti sementara menunggu pengeluaran rasmi APC,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dilaporkan memberi jaminan kepada doktor yang sudah mengemukakan permohonan APC lengkap, memenuhi semua keperluan statutori dan membuat bayaran pada atau sebelum 31 Dis boleh terus berkhidmat tanpa sebarang penalti, dengan syarat mereka tidak tertakluk sebarang sekatan bawah Akta Perubatan 1971.
Pengkritik bagaimanapun memberi amaran berkhidmat tanpa APC sah, satu kesalahan di bawah akta itu, walaupun permohonan masih diproses.
Manmohan Singh Dhillon, peguam yang pakar dalam kes salah laku perubatan, berkata MPM tiada kuasa undang-undang untuk memberi kekebalan kepada doktor dalam situasi ini kerana tiada peruntukan sedemikian dalam Akta Perubatan dan syarikat insurans boleh menolak tuntutan dengan mudah dalam keadaan ini.
Seorang doktor enggan dinamakan berkata, bekerja selama sebulan tanpa APC berisiko walaupun mempunyai perlindungan insurans dan ia akan menimbulkan masalah jika syarikat insurans menolak tuntutan.