Doktor bimbang kuota syarikat insurans di hospital swasta

Doktor bimbang kuota syarikat insurans di hospital swasta

Seorang doktor dakwa kuota tidak bertulis itu memaksa doktor buat yang mungkin beri kesan buruk kepada pesakit untuk tempoh panjang.

doctor generic
Seorang doktor berkata satu syarikat insurans beritahu rangkaian panel hospital supaya merawat pesakit denggi, influenza, bronkitis, ulser peptik, dan gastroenteritis sebagai pesakit luar sebanyak mungkin. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Timbul arahan tidak rasmi daripada syarikat insurans yang mewajibkan hospital meningkatkan kuota pesakit luar, berbanding pesakit dalam bagi penyakit tertentu, sekali gus meletakkan doktor dalam dilema, menurut seorang pengamal perubatan.

Seorang doktor di sebuah hospital swasta yang enggan dinamakan memberitahu FMT, berkata doktor telah diminta mengehadkan jumlah kemasukan wad bagi mengutamakan rawatan sebanyak mungkin kes sebagai pesakit luar.

Arahan meningkatkan kuota pesakit luar, berbanding pesakit dalam memaksa doktor membuat keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri, justeru meningkatkan risiko berlakunya keputusan yang mungkin memberi kesan buruk terhadap kesihatan pesakit bagi tempoh jangka panjang, kata doktor berkenaan.

‘Arahan’ itu muncul menyusuli inisiatif baharu yang membenarkan pemegang polisi untuk terus ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan pesakit luar untuk senarai penyakit terpilih.

Sebelum inisiatif tersebut diperkenal, pesakit perlu datang membawa surat jaminan daripada syarikat insurans mereka bagi menjamin pembayaran, jika perlu dimasukkan ke wad.

Doktor yang memberitahu FMT, berkata sebuah syarikat insurans telah memaklumkan rangkaian panel hospital supaya merawat pesakit menghidap demam denggi, influenza, bronkitis, ulser peptik, dan gastroenteritis sebagai pesakit luar sahaja jika boleh, berbanding mengesyorkan kemasukan ke wad.

Namun, beliau berkata, sebahagian penyakit ini walaupun lazim ditemui memerlukan pesakit dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan ujian lanjut selepas penemuan awal diperolehi.

“Dengan tekanan daripada kuota berkenaan, ada kemungkinan sesetengah doktor akhirnya membuat keputusan silap,” katanya.

Doktor itu berkata, pihak hospital kini memberi tekanan kepada doktor mereka untuk memenuhi kuota syarikat insurans tersebut. Kegagalan mematuhi arahan itu boleh mengakibatkan hospital dikeluarkan daripada senarai panel syarikat insurans.

“Doktor telah diberitahu supaya sentiasa mengambil kira kepentingan komersial ini semasa mengendalikan pesakit,” tambahnya.

Berbanding melalui dokumen bertulis secara rasmi, arahan itu datang dalam bentuk mesej pesanan ringkas dan peringatan secara lisan daripada pihak pengurusan hospital, justeru menambah tekanan terhadap doktor terutamanya ketika mereka sedang dalam proses membuat keputusan.

“Ia boleh menjejaskan pertimbangan profesional,” kata doktor berkenaan.

“Kami faham rawatan pesakit luar membantu pesakit sembuh dengan lebih cepat di rumah, mengelak kos tidak perlu di hospital, dan mengekalkan kesinambungan menguruskan penyakit kronik,” katanya sambil merujuk perbezaan kos antara rawatan pesakit dalam dan pesakit luar adalah ketara.

“Tetapi, kuota tidak bertulis ditetapkan syarikat insurans untuk pihak hospital itulah yang sangat dipersoalkan,” katanya.

FMT telah menghubungi syarikat insurans terlibat untuk mendapatkan ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.