
Tiada pertuduhan direkodkan daripada tertuduh, Dr Chia Tong Hong, 34, selepas dua pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret A Shaarmini, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, dan anak lelakinya, Aaden Chia Yee Heng, 5, sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah dekat Jalan Perjiranan 11/12, Bandar Dato’ Onn, antara 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Disember lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan yang boleh sampai 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas polis dalam menjalankan siasatan.
Dia didakwa mengubah kedudukan mayat si mati iaitu anaknya dalam siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kesalahan dilakukan di lokasi sama kira-kira jam 8.10 pagi, 31 Disember dan dakwaan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas tuduhan melupuskan kuku palsu isterinya itu dengan niat untuk mengelak daripada hukuman undang-undang di lokasi, masa dan hari yang sama.
Tertuduh yang juga anak tunggal itu didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nur Fatihah Mohd Nizam dan Siti Aishah Latif mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Bernard George.
Mahkamah tidak membenarkan seabrang jaminan kerana kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebutan semula ditetapkan pada 17 Mac depan bagi serahan dokumen sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan toksikologi.