
Francis Koh, naib pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, berkata 49 daripada 81 rumah yang rosak dalam insiden itu disenarai pendek untuk dibaiki di bawah program kerajaan membabitkan kerosakan struktur melebihi 40%.
Rumah terjejas itu meliputi tiga kawasan kejiranan – Amber (21 rumah), Topaz (22) dan Citrine (6).
Daripada 49 rumah yang rosak teruk, Koh berkata, 10 rumah di kawasan Amber dijadualkan siap menjelang awal Disember, berdasarkan komitmen bertulis yang diberikan kepada penduduk.

“Sepuluh rumah ini sepatutnya siap menjelang 6 Dis, tetapi setakat ini hanya dua rumah disiapkan, dengan pemilik menandatangani pembaikan itu.
“Rumah lain masih dalam proses pembaikan pelbagai peringkat,” katanya ketika dihubungi FMT.
Koh berkata, ramai penduduk terpaksa menyewa rumah di USJ, Subang Jaya, kawasan lain di Putra Heights serta Puchong sejak sembilan bulan lalu, dengan kerajaan membayar pampasan RM2,000 sebulan bagi penginapan sementara.
Kerajaan mengumumkan program pembaikan dan pembinaan semula pada 30 April 2025, dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memperuntukkan RM46 juta untuk kerja pembaikan rumah dan pemulihan infrastruktur di Putra Heights.

Sime Darby Property kemudian dilantik untuk melakukan kerja pembaikan dan pembinaan semula di Taman Putra Harmoni, dengan kerja dijangka bermula sebulan selepas insiden itu.
Koh berkata, penduduk ingin tahu skop dan kadar pembaikan itu, termasuk syarat dipersetujui antara Sime Darby Property dan kementerian Nga, yang menurutnya telah memperlahankan kemajuan.
“Kami perlu skop kerja dan garis masa yang jelas serta bertulis. Kami membuat susulan pada 1 Jun dan sekali lagi pada 14 Julai, tetapi masih wujud ketidakpastian berhubung piawaian pembaikan dan tarikh siap.”
Adun Kota Kemuning, Preakas Sampunathan, berkata beliau dimaklumkan pegawai kementerian bahawa mesyuarat antara penduduk dan pihak berkuasa akan diadakan awal bulan ini bagi menyelesaikan kelewatan itu.
Katanya, timbul kebimbangan berhubung kelewatan dan kualiti pembaikan, selain kontraktor terikat peraturan yang tidak semestinya mengambil kira perbezaan antara rumah.
“Kontraktor mematuhi peraturan, tetapi persoalannya sama ada peraturan ini boleh digunakan ke atas setiap rumah secara seragam memandangkan setiap rumah mengalami kerosakan berbeza.”
Sime Darby ketika dihubungi berkata, ia tidak akan mengulas perkara itu di peringkat ini.