Pemandu e-panggilan mengaku tak salah sebabkan kematian 3 individu

Pemandu e-panggilan mengaku tak salah sebabkan kematian 3 individu

Loo Chun Hao didakwa didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga mangsa di KM 56 Lebuhraya E22 Senai-Desaru, Kota Tinggi 11 Oktober lalu.

scales of justice gavel
Tertuduh, Loo Chun Hao, 32, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pengerang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga kematian. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu e-panggilan didakwa di Mahkamah Majistret Pengerang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga kematian, dua bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Loo Chun Hao, 32, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Majlistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, menurut Harian Metro.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pemandu pikap Toyota Fortuner didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21, Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20, dan Muhammad Abdul Khalid Ab Rashid, 19.

Kesalahan didakwa dilakukan di KM 56 Lebuhraya E22 Senai-Desaru (SDE22), Kota Tinggi pada 11.45 pagi, 11 Oktober lalu itu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki barang larangan iaitu 24 karton rokok pelbagai jenis atau 4,800 batang rokok yang ditaksirkan bernilai RM3,894, yang didakwa dilakukan di tempat, waktu dan hari yang sama.

Barangan itu berduti semasa pengimportannya di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Kastam (Kaedah Penilaian 1999).

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama yang membawa hukuman sehingga 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan.

Peguam mewakili tertuduh, K Sarawanan membantahnya dengan alasan anak guamnya kini tidak mampu bekerja kerana cedera akibat kemalangan terbabit.

Katanya, tertuduh juga ada tanggungan ibu berusia 60 tahun, abang dan kakak selain masih menjalankan rawatan susulan.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah ikat jamin keseluruhan sebanyak RM15,000 dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Media pada 11 Oktober lalu melaporkan tiga maut dalam nahas tiga kenderaan yang mana dua daripada kenderaan itu terbakar di KM56, SDE22, Kota Tinggi.

Dalam kemalangan itu, sebuah Toyota Fortuner yang terbakar didapati membawa rokok seludup yang mana pemandunya cedera parah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.