
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu lori K Kanapathi, 35, yang mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan kurang sopan dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang warga asing.
Majistret sebelum menjatuhkan hukuman juga menasihatkan Kanapathi supaya mengawal emosi dan bertolak ansur ketika memandu pada masa hadapan.
Kanapathi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Daniel Owen Flower, 54, dengan niat mengaibkan sehingga boleh membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada 5.25 petang di plaza tol tersebut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100. Lelaki itu membayar denda tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran, bagaimanapun peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M Partiben yang mewakili Kanapathi merayu hukuman ringan kerana lelaki itu mempunyai tanggungan termasuk dua anak masih kecil.
Selain itu, ia merupakan kesalahan pertama Kanapathi dan lelaki itu berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Sebelum ini, tular di media sosial video seorang pemandu bertindak agresif dengan memberhentikan kenderaan di plaza tol sebelum membaling kon serta mengeluarkan kata-kata mengaibkan terhadap pemandu lain.