Pengerusi kuil didakwa ceroboh tanah di Dengkil

Pengerusi kuil didakwa ceroboh tanah di Dengkil

M Paramaguru ngaku tak bersalah ceroboh tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya pada 19 Jun tahun lalu.

sepang
M Paramaguru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan menceroboh tanah milik Suhaili Ahmad di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pengerusi sebuah kuil didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan menceroboh tanah milik orang lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.

Tertuduh, M Paramaguru, 49, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Paramaguru didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya pada 4.45 petang di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun peguam tertuduh, Darshela Hari Raja memohon jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Dalam rayuannya, Darshela berkata anak guamnya sudah berkahwin serta mempunyai dua anak berusia enam dan 11 bulan, manakala isterinya adalah suri rumah yang bergantung dengan pendapatan suami.

“Justeru, kami mohon jumlah wang jaminan lebih rendah dikenakan terhadap tertuduh memandangkan dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis serta tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Paramaguru dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac sebagai tarikh serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.