
Menurut NGO itu, fungsi kawalan produk tembakau pada masa ini terbahagi antara beberapa agensi, dan pemecahan bidang kuasa menyebabkan pertindihan dan kekangan sumber.
Menurutnya pendekatan bersepadu, menerusi penyelarasan kuasa dengan mandat jelas dan sumber mencukupi, akan mengurangkan ketirisan hasil cukai, membanteras produk tidak bercukai, meningkatkan pematuhan peruncit, dan mengukuhkan keberkasan dasar kenaikan harga.
“Tanpa asas penguatkuasaan yang kukuh, kesan positif kenaikan cukai akan terhakis oleh pasaran haram,” menurut kenyataan, mengulas kenaikan cukai eksais tembakau.
Kerajaan menaikkan kadar duti eksais ke atas produk rokok berkuat kuasa mulai 1 November sebagai langkah mengekang tabiat merokok dan memperkukuh Agenda Nasional Malaysia Sihat.
Langkah itu bertujuan mengurangkan prevalens tabiat rokok, dengan harga sebatang rokok dinaikkan dua sen dan produk ‘cigar’, ‘cheroot’ serta ‘cigarillo’ dinaikkan RM40 sekilogram. Selain itu, produk rokok elektronik bagi memanaskan tembakau atau heated tobacco yang mengandungi kandungan tembakau dinaikkan RM20 sekilogram.
MCTC ambil maklum naratif kenaikan cukai akan meningkatkan penyeludupan, namun laporan Bank Dunia menunjukkan perdagangan haram lebih berkait dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus, dan bukan kadar cukai semata-mata, katanya.
“Sehubungan itu, MCTC menegaskan bahawa kenaikan cukai mesti dilaksanakan seiring dengan pengukuhan sistem kawalan dan pemantauan rantaian bekalan,” katanya.
Ia juga menggesa kerajaan meratifikasi Protokol Membasmi Perdagangan Haram Produk Tembakau, yang merupakan sebahagian Rangka Kerja Konvensyen bagi Kawalan Tembakau, oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
“Ratifikasi ini akan memperkukuh mekanisme pelesenan, sistem penjejakan dan pengesanan, serta kerjasama rentas sempadan,” katanya.