
Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata dakwaan tanpa bukti kukuh disifatkan menakutkan kerana boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi tertentu.
Asri mendedahkan beliau sendiri bertanya kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai dakwaan berkenaan.
Menurutnya, baginda meminta supaya individu membuat tuduhan itu tampil mengemukakan maklumat projek terbabit.
“Dia tidak merujuk kepada sesiapa secara khusus, tetapi dakwaan sebegini boleh menimbulkan persepsi, misalnya menteri besar meletakkan jawatan kerana tekanan untuk meluluskan perkara tertentu tanpa mengikut peraturan.
“Siapa yang boleh menekan menteri besar? Ini boleh memberikan persepsi yang sangat negatif.
“Saya bukan hendak membela sesiapa, tetapi jika mahu menuding, mesti ada bukti. Ini sangat menakutkan dan kita tidak mahu ia pula digunakan atas nama agama,” katanya sambil menekankan bahawa peranan sistem beraja telah lama diamalkan di Malaysia.
Asri atau lebih dikenali sebagai Maza, berkata demikian dalam program audio siar bertajuk ‘Realiti Politik: Antara Agama dan Kuasa’ terbitan PromediaTajdid.
Tanpa menyebut sebarang nama, kenyataan beliau itu menyusul dakwaan dibuat Presiden PAS Hadi Awang berhubung punca peletakan jawatan Adun Sanglang Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis, Khamis lalu.
Hadi mendakwa isu melibatkan beberapa projek besar yang tidak mengikut peraturan menjadi punca krisis politik di negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) itu.
Shukri meletakkan jawatan susulan tindakan lapan Adun PN, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau.
Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), yang keahlian PAS mereka telah digugurkan.
Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).