
Azam berkata laporan disiplin dan kesihatan yang dibawa oleh pelajar terbabit hanya untuk maklumat pihak sekolah baharu bagi mengambil tindakan sewajarnya dan memberikan pemerhatian khusus kepada murid berkenaan.
“Sekolah baharu tidak boleh menolak kemasukan murid ke sekolah. Pihak sekolah wajib menerima sesiapa sahaja anak-anak kita yang layak.
“Laporan kesihatan itu untuk membantu anak-anak tersebut sekiranya memerlukan rawatan berkala misalnya, maka pastikan tarikh cuti diuruskan dengan sewajarnya,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.
Katanya, maklumat kesihatan murid juga penting bagi memastikan guru dapat memberi layanan sewajarnya dan menyediakan kemudahan seperti tempat duduk yang bersesuaian jika pelajar berkenaan ada penyakit seperti buah pinggang.
Semalam, Azam berkata bermula sesi persekolahan 2026, semua pelajar yang berpindah sekolah akan diwajibkan melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin.
Beliau berkata itu merupakan antara garis panduan baharu keselamatan sekolah yang akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid.
Katanya, sebelum ini pertukaran sekolah dibuat tanpa pemindahan maklumat penting, menyebabkan sekolah baharu tidak mengetahui latar belakang murid terbabit sehingga berpotensi mencetuskan insiden.
Sementaraa itu, Azam turut beri amaran kepada pihak sekolah untuk tidak menyebarkan segala data murid terutama melibatkan rekod kesihatan dan disiplin.
Katanya, perkara berkaitan data murid adalah tertakluk kepada data privasi peribadi dan sulit, bukannya untuk tujuan edaran umum.
“Pihak sekolah tidak dibenarkan sama sekali mendedahkan data peribadi murid sehingga memalukan murid tersebut. Jika itu berlaku, guru atau pihak sekolah yang didapati berbuat demikian, boleh diambil tindakan tatatertib,” katanya.