Pelajar pindah sekolah wajib lampir laporan kesihatan, disiplin

Pelajar pindah sekolah wajib lampir laporan kesihatan, disiplin

Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata itu antara garis panduan baharu keselamatan sekolah yang bermula 2026.

MOHD AZAM AHMAD
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata garis panduan baharu keselamatan sekolah itu adalah bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid.
PETALING JAYA:
Semua pelajar yang berpindah sekolah akan diwajibkan melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin mulai sesi persekolahan 2026, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad.

Beliau berkata itu merupakan antara garis panduan baharu keselamatan sekolah yang akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid.

“Sekolah asal perlu melampirkan laporan kesihatan termasuk kesihatan mental serta laporan disiplin murid. SOP ini akan diperketatkan supaya isu berisiko dapat dikesan lebih awal,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata sebelum ini pertukaran sekolah dibuat tanpa pemindahan maklumat penting, menyebabkan sekolah baharu tidak mengetahui latar belakang murid terbabit sehingga berpotensi mencetuskan insiden.

Dalam pada itu, Azam berkata pada masa ini, Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah KPM sedang menyemak semula SOP sekolah yang mungkin tidak lagi relevan agar lebih selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata semakan SOP itu turut melibatkan agensi luar seperti UNICEF dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), selain kerjasama Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.

Menurutnya, reformasi keselamatan sekolah itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu kesihatan mental, pendidikan reproduktif dan sosial, kebajikan guru, suara murid serta Polisi Perlindungan Murid.

Katanya, di bawah polisi berkenaan, KPM akan memperkenalkan konsep ‘Aku Janji Sekolah’ yang melibatkan komitmen bersama antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan berdisiplin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.