
Persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menumpukan perbincangan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong keputusan klinikal, integrasi digital untuk kesinambungan rawatan serta kepentingan kelestarian dalam menjamin daya tahan sistem kesihatan jangka panjang.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata MIH Megatrends 2025 telah menyediakan hala tuju lebih jelas kepada pemain industri untuk membangunkan sistem kesihatan yang bukan sahaja responsif, tetapi mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata KPJ menggerakkan hala tuju itu melalui pelaksanaan KPJ Health System yang mengintegrasikan amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi mempertingkat piawaian penjagaan, memperluaskan perkhidmatan khusus serta memperkukuh pembangunan profesional tenaga kesihatan.
“Dipandu tujuan Care for Life, kami komited menterjemahkan pengetahuan kepada amalan, membangunkan bakat serta memacu penyelesaian berskala demi meningkatkan kualiti rawatan dan ekosistem kesihatan,” katanya dalam kenyataan
MIH Megatrends 2025 yang dianjurkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama strategik KPJ Healthcare menghimpunkan pembuat dasar, profesional kesihatan, ahli akademik serta pemain industri.
Persidangan itu membincangkan isu melibatkan kesihatan awam, kelestarian, penyakit tidak berjangkit dan transformasi sistem kesihatan.
Ketua Setiausaha KKM Suriani Ahmad bersama Pengerusi KPJ Healthcare Ismail Bakar menyampaikan anugerah kepada pemenang Pertandingan Poster Saintifik MIH dan KRAFT Challenge 2025 sebagai pengiktirafan terhadap inovasi dan pembangunan bakat.
Pada persidangan sama, KPJ turut mengumumkan pelaksanaan KPJ ASEAN Clinical Fellowship Programme 2026, sebuah program pembangunan klinikal untuk doktor dari negara Asean melalui penempatan di hospital KPJ, dengan bimbingan pakar dan latihan berstruktur.
KPJ turut memeterai tiga memorandum persefahaman untuk memperluas kerjasama antarabangsa dalam bidang perkhidmatan dan pendidikan kesihatan. Antaranya kerjasama dengan FJR Mediterranean Healthcare Investment Group dalam perkhidmatan steril dan dialisis di Arab Saudi.
Kerjasama KPJ Healthcare University dengan Elite Academy bagi pembangunan latihan dan pensijilan profesional.