Isa Samad masuk hospital, bicara kembali sabitan tangguh

Isa Samad masuk hospital, bicara kembali sabitan tangguh

Tarikh baharu untuk perbicaraan akan ditetapkan pada pengurusan kes yang dijadualkan pada Isnin.

isa samad
Isa Samad, 76, dilapor telah dimasukkan ke hospital di Seremban berikutan komplikasi perubatan. (Gambar Bernama) 
PUTRAJAYA:
Perbicaraan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan rasuah Isa Samad dijadualkan hari ini di Mahkamah Persekutuan ditangguhkan memandangkan bekas pengerusi Felda itu dimasukkan ke hospital.

Peguam Baharudeen Ariff, berkata Isa, 76, dimasukkan ke hospital di Seremban pada Selasa susulan komplikasi perubatan.

“Kami menulis surat kepada pendaftar Mahkamah Persekutuan dan penangguhan itu dibenarkan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Baharudeen berkata, pengurusan kes ditetapkan pada Isnin untuk penetapan tarikh baharu bagi perbicaraan rayuan itu.

Panel tiga hakim dijadualkan mendengar hujah lisan pihak pendakwaan dan peguam baharu mewakili bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Pada Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan terhadap Isa kerana didakwa menerima suapan RM3 juta berkaitan kelulusan pembelian sebuah hotel di Kuching, 10 tahun sebelum itu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini hakim Mahkamah Persekutuan, berkata Mahkamah Tinggi telah melakukan kesilapan yang boleh dirayu, sekali gus mewajarkan campur tangan.

Pada 2021, Hakim Nazlan Ghazali, yang semalam telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan, mendapati Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta.

Isa dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.4 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.