
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika, berkata pendekatan ‘pet-friendly’ atau mesra haiwan wajar disokong, namun mesti disertakan had dan peraturan jelas bagi menjaga keselamatan, kebersihan serta keselesaan orang awam di pusat beli-belah.
Katanya, antara garis panduan boleh dipertimbangkan ialah kawalan ketat terhadap haiwan terbabit termasuk penggunaan tali pengikat yang kukuh serta lampin khas bagi mengelakkannya membuang najis di kawasan awam.
“Ini soal kebersihan dan kesihatan. Najis yang melekat pada permukaan boleh meninggalkan kesan walaupun telah dibersihkan dan ini berpotensi mendatangkan risiko kesihatan.
“Pemilik haiwan juga perlu mempunyai keupayaan mengendalikan peliharaan mereka, khususnya anjing, bagi mengelakkan insiden serangan atau perubahan tingkah laku akibat panik di kawasan sesak,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, kehadiran haiwan ke pusat beli-belah juga harus terhad kepada tujuan tertentu seperti pameran, pertandingan atau program promosi kebajikan haiwan sahaja dan bukan dibawa ‘sekadar suka-suka’ ke tempat awam yang sesak.
“Kita tidak menghalang dan kita menyokong pusat beli-belah menganjurkan program mesra haiwan, tetapi mesti ada had.
“Tidak semua kawasan sesuai, contohnya medan selera atau premis makanan kerana ia melibatkan isu kesihatan, keselamatan dan kebersihan.
“Mungkin ia boleh dibenarkan untuk berada di ruang khusus yang tidak mengancam keselamatan pengunjung, termasuk kanak-kanak dan individu fobia terhadap haiwan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Haiwan Kluang Nasir Abdul Aziz berpandangan pendekatan pusat-belah mesra haiwan adalah langkah positif dalam mendidik masyarakat, khususnya kanak-kanak, untuk hidup bersama haiwan tanpa rasa takut atau stigma melampau.
“Kebimbangan mengenai kebersihan boleh ditangani melalui peraturan pengurusan pusat beli-belah, termasuk mewajibkan haiwan diletakkan dalam kereta sorong dan tidak dibenarkan berjalan bebas di lantai,” katanya.
Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Li, menegaskan larangan membawa haiwan peliharaan ke pusat beli-belah di negeri itu masih kekal dan dasar berkenaan masih berkuat kuasa.